Tafsir Fi Zilalil Quran (Dibawah Naungan Al-Quran)

Tafsir Fi Zilal (Dibawah Naungan Al-Quran) (klik untuk download pdf)

Tafsir Fi Zilalil Quran (Dibawah Naungan Al-Quran) adalah sebuah tafsir tulisan Sayyid Qutb yang merupakan salah seorang anggota jemaah Ikhwah Muslimin di Mesir.

Tafsir Fi Zilalil-Qur’an adalah ditulis dengan bersandarkan kepada kajian-kajian beliau yang mendalam, yang ditimba secara langsung dari alQur’an dan as-Sunnah, di samping bersumberkan kepada kitab-kitab tafsir yang mu’tabar. Beliau memasuki ke dalam penulisan tafsir ini setelah melengkapkan dirinya dengan pengalaman-pengalaman dan kajian-kajian yang kaya di bidang penulisan, keguruan, pendidikan dan pengamatannya yang luas dan tajam dalam perkembangan-perkembangan sosial dan politik dunia semasa. Beliau telah menghabiskan lebih dari separuh usianya dalam pembacaan dan penela’ahan yang mendalam terhadap hasil-hasil intelektual manusia di dalam berbagai-bagai bidang pengajian dan teori-teori, berbagaibagai aliran pemikiran semasa dan berbagai-bagai kajian mengenai agama-agama yang lain.

Di samping itu tafsir Fi Zilalil-Qur’an adalah ditulis dengan tinta derita dan sengsara yang begitu pahit akibat penindasan dan permainan politik gila kuasa yang zalim di zaman itu. Beliau telah menjalani penyeksaan fizikal yang kejam dan tidak berperi kemanusiaan dan seluruh kesengsaraan ini telah membuat seluruh entiti beliau  tertumpu kepada Allah dan kepada penghayatan al-Qur’an, di mana beliau hidup di bawah bayangan al-Qur’an dengan seluruh jiwa dan perasaannya dan hidup sebagai seorang penda’wah yang ‘arifbillah, sabar, gigih, redha, tenang, tenteram, berserah bulat kepada Allah, tidak mengenal kalah dan putus asa. Semuanya itu merupakan faktor-faktor penting yang melahirkan tafsir “Fi Zilalil-Qur’an” di dalam bentuknya yang unik yang mengatasi tafsir-tafsir yang lain.

Tafsir Fi Zilalil-Qur’an berbeza dari tafsir-tafsir yang lain apabila beliau menggunakan satu methodologi pentafsiran yang membersihkan pentafsiran al-Quran dari pembicaraan-pembicaraan sampingan dan selingan yang tidak disarankan oleh nas-nas al-Quran. Justeru itu beliau menjauhkan tafsirnya dari perbahasan-perbahasan bahasa dan tata bahasa, perbahasan-perbahasan ilmu al-kalam dan ilmu fiqah dan dari cerita-cerita dongeng israeliyat yang lumrah dalam kebanyakan tafsir termasuk tafsir-tafsir yang terkenal sebagai sumber-sumber rujukan.

Di samping itu beliau juga menjauhkan tafsirnya dari menundukkan nas-nas al-Qur’an kepada penemuan-penemuan dan pendapat-pendapat sains yang sering dilakukan oleh orang-orang yang terlalu ghairah untuk mendampingkan pentafsiran alQur’an dengan pentafsiran sains, sedangkan sumber kedua-dua tafsir itu adalah berlainan iaitu al-Qur’an bersumberkan wahyu dari Allah pencipta yang mengetahui segala sesuatu sementara sains bersumberkan intelektual manusia yang tidak syumul, tidak mantap dan sering berubah-ubah.

Beliau telah menyifatkan perbahasan-perbahasan sampingan itu sebagai campuraduk yang merosakkan jalan penyampaian al-Qur’an yang indah, lurus dan jelas dan seterusnya menyifatkan perbahasan-perbahasan itu sebagai halangan-halangan “yang melindungkan al-Qur’an dari jiwa saya dan melindungkan jiwa saya dari al-Qur’an.”

Walaupun tafsir Fi Zilalil-Qur’an telah selesai ditulis dan walaupun masih meringkuk di dalam penjara, namun beliau masih belum puas menimba lautan kalamullah. Ufuk-ufuk pemikirannya yang meluas, gagasangagasan Islamiyah yang segar dan baru, pandangan-pandangan dan perasaan-perasaan kesedarannya yang lebih halus merangsangkan hati dan jiwanya, justeru itu pada awal tahun 1960 beliau sekali lagi tampil dengan penuh dedikasi mengemaskinikan tafsir Fi Zilalil-Qur’an dengan menokokkan huraian-huraian tambahan yang baru dan penghalusan-penghalusan yang perlu untuk menjadikan tafsir itu sebuah tafsir haraki yang sempurna.

Usaha ke arah itu menjadi lebih lancar apabila beliau dibebaskan dari penjara dengan campurtangan Presiden Republik Iraq Abdul Salam ‘Arif pada masa itu. Dalam kesempatan ini beliau telah berjaya membuat pembaharuan tafsir itu hingga ke juzu’ yang ketiga belas di mana tamatnya Surah Ibrahim, tetapi beliau tidak sempat mengemaskinikan juzu yang baki, kerana beliau tiba-tiba ditangkap kembali atas tuduhan-tuduhan yang palsu dan zalim.

Setelah diundang ke alam para syuhada’ tafsir Fi Zilalil-Qur’an merupakan satu-satunya tafsir yang paling luas tersebar di seluruh dunia Islam di zaman ini, di samping menjadi bahan-bahan kajian dan rujukan utama para ulama’ dan para mufassirin. Ujar Dr. Hasan Farahat: “Tafsir Fi Zilalil-Quran” telah menjadi begitu terkenal dengan sebab Sayyid Qutb (Rahimahullah) telah menulis tafsir ini sebanyak dua kali; kali pertama ia menulis dengan tinta seorang alim dan kali kedua dia menulis dengan darah syuhada’. Ujar Yusof al-‘Azym” “Tafsir Fi Zilalil-Qur’an” adalah wajar dianggap sebagai suatu pembukaan Rabbani yang diilhamkan Allah kepada penulisnya. Beliau telah dianugerahkan matahati yang peka yang mampu menanggap pengertian-pengertian, gagasan-gagasan dan fikiran yang halus yang belum dicapai oleh mana-mana penulis tafsir yang lain.

Adalah jelas sekali bahawa keimanan beliau yang tulen, pembacaan beliau yang luas, pengalamannya yang mendalam dan  bakat-bakat semulajadinya yang  gemilang telah menjadikan tafsir Fi Zilalil Qur’an sebuah tafsir yang unik dan secara adil dapat diletakkan di kemuncak tafsir-tafsir yang lama dan yang baru, di mana terkumpul penjelasan-penjelasan yang syumul, himpunan ilmu pengetahuan, huraian yang citarasa  dan da’wah yang lantang ke arah mengulangi semula hayat Islamiyah”, sementara Dr. Saleh Abdul Fatah alKhalidi pengkaji karya-karya Sayyid  Qutb dan penulis biografinya yang terkenal telah berkata:

“Sayyid Qutb  dalam tafsir “Fi Zilalil-Quran” adalah dianggap sebagai mujaddid di dalam dunia tafsir, kerana beliau telah menambahkan berbagai-bagai pengertian dan fikiran haraki, dan berbagaibagai pandangan tarbiyah yang melebihi tafsir-tafsir yang lalu, juga dianggap sebagai pengasas pengajian baru dalam ilmu tafsir, di mana beliau telah memperkenalkan aliran tafsir haraki.”
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s