Mengimbau Pengalaman Diberi Kehidupan Kedua

Bunyi ambulans jelas kedengaran.

“Sabar ea yam, ambulans dah sampai. Japgi kita ke hospital,” saya memberitahu ukhti yang terbaring di atas jalan.

Mereka yang disekeliling membantu Mariam naik di atas stretcher dan pegawai kesihatan menolak masuk Mariam ke dalam ambulans. Saya turut naik untuk di bawa ke hospital berdekatan. Saya mengabaikan soalan yang ditanya oleh pegawai polis kerana saya juga perlu mendapatkan rawatan.

image

——

Mengimbau kenangan hampir 8 bulan yang lalu. Saat orang lain sibuk dengan buku kerana peperiksaan akhir bakal bermula tak kurang dari seminggu, saya bersama Mariam merancang untuk bertemu dengan adik-adik sasaran mad’u di kolej kediaman universiti yang terletak agak jauh dari tempat tinggal kami.

Tiga hari sebelum…

Pelajar tamhidi baru sahaja mendaftarkan diri. Memang sudah menjadi kebiasaan bagi kami untuk menganjurkan program suai kenal atau program sambutan pelajar baru (SPB) bagi meraikan kedatangan pelajar-pelajar baru di university. Ini juga merupakan salah satu cara mencari hati-hati yang dahagakan tarbiah dan mencari kader-kader baru bagi meneruskan perjuangan kami di sini. Kebetulan adik kandung saya juga merupakan salah seorang pelajar tamhidi untuk sesi kali ini.

Saya bertanya kepada Mariam merangkap master plan untuk program kali ini. Boleh kata semua program dialah master plannya. “Yam, macam mana SPB kali ni? Bila nak turun promote. Poster ana dah siapkan,” saya menghantar pesanan ringkas padanya. Kemudian dia membalas, “Ana dah susun. Tapi tak tau lagi berapa orang akhowat yang boleh turun. Ukhti doakan la ea. Ukhti nak boleh turun bila?”. Saya melihat jadual belajar. Banyak lagi subjek yang belum ulangkaji. Bagi saya peperiksaan kali ini sangat menakutkan memandangkan tedapat juga carry marks bagi sesetengah subjek yang amat menyedihkan.

Demi memikirkan kewajipan beramal, saya gagahkan juga, “Ana bila-bila masa pun boleh.” Kemudian saya memaklumkan keadaan kolej yang sudah dirombak agar memudahkan perancangan untuk mengagihkan bahan promosi.

Sehari sebelum…

Malam itu Mariam memberitahu saya, “Ukhti, Alhamdulillah dah selesai beberapa blok. Bahan nak diedar pun dah habis.” Saya sedikit terkejut. Baru semalam dia datang ke bilik mengadu tentang beberapa masalah yang mungkin mengakibatkan kesulitan untuk turun ke medan. Tiba-tiba malam ni katanya dah selesai.

“Alhamdulillah. Tapi ukhti, ana tak turun lagi. Ingat nak turun juga jumpa adik-adik yang ana kenal. Enti nak turun bila ea? Dah turun ke?” Saya mula mengajukan soalan. Kemudian Mariam mengajak saya untuk turun ke kolej kediaman tersebut pada esok hari. Pada mulanya kami bercadang untuk turun pada petang hari. Tapi disebabkan beberapa hal, kami menangguhkan pada waktu malam.

Pada hari kejadian…

Maghrib itu Mariam mengirimkan pesanan ringkas, “Ukhti tahu tak kat mana boleh beli ais krim pot besar?” Saya sudah dapat mengagak yang ais krim tersebut untuk di makan bersama adik-adik nanti. Saya sekadar membalas, “Kat kedai Akasia tu tak dak ke? Kalau kat sini giant/ tesco je la kot.”

Pada jam 8, Mariam menjemput saya di kolej kediaman dengan menggunakan motorsikalnya. Memang sudah beberapa tahun saya ke sana ke sini dengan beliau menggunakan motor itu. Saya mendekati motor dan menyoal, “Macam mana Yam, jumpa tak ais krim?”. Mariam dengan lemah membalas, “Pot besar tak ade. Ana beli yang pot kecik ni je. Japgi boleh la makan aiskrim roti dengan adik2”.

“Berapa semua ni? Nanti kita share”, sudah menjadi kebiasaan untuk saya bertanya bagi mengurangkan beban akhowat. Mariam seperti biasa, “Tak pe2, ana belanje semua ni”. Saya hanya tersenyum dan terus membonceng motornya sambil memeluk beg kertas yang mempunyai barang-barang untuk diberi kepada adik kandung saya memandangkan adik saya juga menetap di kolej yang sama.

Sebelum bergerak ke Kolej Kediaman Nilam Court, kami singgah di stesen minyak. Di kesempatan ini saya sempat menghulurkan duit untuk membayar. Mariam seperti biasa menolak. Namun, saya paksakan juga untuk dia menerimanya. Parah la kalau dia sorang je yang nak beramal. Saya juga mahu turut menyumbang pahala. Akhirnya diterima juga. Kami sempat berbual-bual tentang beberapa hal sebelum menyambung perjalanan.

Dari Bandar Baru Nilai, ada dua jalan yang boleh digunakan untuk sampai ke Kolej Kediaman Nilam Court. Satu, jalan yang agak jauh dan sunyi. Jalan itu biasanya digunakan oleh bas untuk menghantar pelajar pulang. Dua, jalan yang dekat tapi agak berbahaya kerana perlu u-turn di lebuh raya. Tapi, itulah jalan kebiasaan yang kami gunakan atas alasan lebih cerah dan cepat sampai.

Setibanya di tempat u-turn, Mariam dengan selambanya terus membelok tanpa melihat dengan jelas kereta di belakang. Kami di hon. Saya mula cuak. Terus menyoal Mariam, “Enti ok tak?”. Dia sekadar mengangguk dan berkata, “Sori”. Tiba di divider pemisah, sekali lagi hampir-hampir tersadung dan saya kembali menyoal. “Yam betul ok ni?”. Dia sekadar mengangguk. Kami meneruskan perjalanan masuk ke kawasan Nilai Impian.

Tiba di simpang empat (yang sedang dalam proses disiapkan), tiba-tiba Mariam hilang kawalan sewaktu membelok ke kiri dan akhirnya kami terjatuh dan terseret di atas tar. Saya berguling di atas jalan bahu jalan. Alhamdulillah tiada kenderaan lain di belakang kami. Jalan kosong. Saya segera bangun mengutip kasut yang tercicir di jalanan dan segera mendekati Mariam yang terbaring di tengah jalan bersebelahan motornya. Helmetnya sudah tercampak di tepi jalan. Saya mula bimbang. Saya menolak motornya sedikit jauh. Dan memanggil namanya. Dengan perasan takut saya menyoal sekali lagi, “Yam, ok tak?”.

Dari jauh kelihatan sebuah teksi berhenti di bahu jalan. Seorang India berjalan menghampiri. Di kiri anjing yang menjaga tempat pembinaan berdekatan menyalak-nyalak. Di atas jalan ais krim bertaburan. Saya menjerit meminta pertolongan melihat Mariam seakan tidak mampu untuk bangun. Saya merayu kepada pemandu teksi untuk membantu membawa Mariam segera ke klinik. Tapi dia menolak, dan segera menelefon seseorang. Sekali lagi saya merayu. Tak sanggup melihat Mariam terbaring di atas jalan.

“Saya tak boleh bawa dia. Saya tak tahu kalau-kalau ada patah atau apa. Saya telefon ambulans. Saya bukan tak mau bawa, tapi saya tak mau jadi apa-apa sama dia,” dia menjelaskan dengan loghat Indianya. “Awak kena tau kalau jadi kemalangan jangan buat apa-apa kalau awak tak tau pasal kecemasan,” tambahnya lagi. Saya hanyak mengangguk-ngangguk. Kelihatan darah merah pekat mula mengalir dari bibir Mariam. Allah.

Mariam memanggil nama saya berulang-ulang kali bermohon maaf. Dia menunjuk kesan calar di muka saya sambil menyoal sama ada saya ok atau tak. Saya hanya menjawab saya ok. Hanya muka dan tangan yang terluka. Kemudian dia mula bertanya tentang adik-adik. Saat dia terbaring di atas jalan, dia masih memikirkan adik-adik mad’unya. Saya cuba menenangkannya dengan berkata saya akan uruskan semuanya. Kemudian dia minta saya maklumkan pada akhowat. Saat itu baru saya teringat dan mula menghubungi akhowat yang berdekatan.

Orang ramai mula mengerumuni tempat kejadian. Ramai. Yang tolong kawal kenderaan, yang tolong hubungi kakitangan USIM, yang tolong ambil gambar, yang tolong meneka apa yang terjadi tak kurang juga yang tolong tengok. Tiba-tiba hati saya tersentak. Ada seorang lelaki berbaju putih datang mendekati Mariam dan berulang kali mengajarnya bertahlil. Hati saya kembali tenang dan dapat berfikir dengan lebih waras. Ini pengalaman pertama saya dan saya sendiri masih trauma.

Sementara menunggu akhowat tiba, ada dua orang perempuan mendekati untuk menenangkan saya dan Mariam. Saya bersyukur sekurang-kurangnya ada peneman. Tidak berapa lama kemudian ukhti Izzati datang bersama zaujnya, akhi Adzim. Sejak itu dia yang memain peranan untuk sentiasa menyoal Mariam agar dia sentiasa memberi respon dan tidak pengsan. Saya mula senyap dan hanya menjawab bila disoal. Kedengaran uncle India tadi marah-marah kerana ambulans lambat tiba. Hampir 30 minit kami menunggu dan akhirnya kami dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans USIM.

Pada asalnya kami akan dihantarkan ke hospital Seremban. Tetapi memikirkan Mariam yang tinggal di Selangor, kami dihantar ke hospital Serdang. Kaki Mariam tidak dapat bergerak. Bimbang ada bahagian yang patah. Di dalam ambulans dia tidak henti-henti memohon maaf pada saya dan kembali bertanya mengenai adik-adiknya. Saya segera menghantar SMS kepada mereka semua untuk memaklumkan yang kami tak dapat pergi. Saya juga memaklumkan kepada teman serumah dan ibu saya. Ukhti Izzati pula menghubungi ibu Mariam untuk memaklumkan tentang kemalangan tersebut.

Di hospital Mariam ditolak ke wad kecemasan zon kuning. Saya pula mendaftar sebagai pesakit luar dan terus menunggu giliran untuk dipanggil. Kelihatan terlalu ramai pesakit luar pada malam tu. Tidak lama saya berada di situ saya mula diziarah akhowat. Ada yang dari Serdang, Bangi dan juga Seremban. Teringat ada sekumpulan akhowat yang datang melawat, “Lepas usrah kami terus ke sini lepas dapat berita”. Tak kurang juga akhowat yang menghantar pesanan ringkas bertanya tentang keadaan Mariam.

Ibu Mariam tiba lebih kurang pukul 10.00 malam. Terus berjumpa dengan saya. Saya takut untuk maklumkan tujuan kami ke sana. Bimbang ibunya akan menyekat aktivitinya selepas ini. Saya hanya memohon maaf dan memberitahu yang saya mengajaknya ke Nilam untuk menziarah adik saya di sana. Ibunya kelihatan tenang sambil menekan-nekan tasbih di tangan. Ayahnya pula kelihatan gelisah dan terus menuju ke wad kecemasan Mariam ditempatkan.

Hampir pukul 11 akhowat beransur pulang. Nama saya masih belum dipanggil sejak 9.15 menunggu. Tiba-tiba skrin nombor terpadam. Saya mula hilang sabar. Memikirkan ukhti Izzati dan zauj yang sedang menunggu saya terus ke kaunter dan bertanya bila giliran saya akan dipanggil. Pegawai yang menjawab hanya acuh tak acuh. Saya terus mengambil keputusan untuk pulang setelah Mariam juga selamat masuk ke bilik X-Ray.

Ukhti Izzati dan akhi Adzim membawa saya ke Pusat Rawatan Islam Az-Zahra’ untuk dirawat di sana memandangkan akhi Adzim merupakan kakitangan di situ dan pesakit tidak ramai di sana. Sampai di sana saya terus diberi suntikan dan ubat-ubatan. Alhamdulillah saya selamat pulang pada pukul 1.00 pagi.

——-

Pada malam kejadian saya tidak dapat lelapkan mata. Esoknya saya dapat mesej yang Mariam tidak ditahan diwad dan dibenarkan berehat di rumah. Dia menerima beberapa jahitan di bibir kerana sedikit terkoyak. Alhamdulillah tiada bahagian yang patah dan dia hanya kekejangan.

Beberapa hari juga saya hanya terbaring di katil tanpa berbuat apa-apa. Saya hanya memegang buku bila ada mood. Melihat muka di cermin buat saya takut andai luka itu meninggalkan kesan. Namun apa kan daya semuanya pasti dengan hikmah. Saya redha.

Seminggu selepas tarikh kejadiaan, peperiksaan akhir semester pun bermula. Dengan tenang, saya menjawab seperti biasa.

——

Sebulan kemudian peperiksaan diumumkan. Alhamdulillah saya masih mengekalkan dean list yang dipegang walaupun keputusannya agak menurun berbanding yang lepas. Dan semua itu juga pasti dengan hikmah. Apa sekalipun saya bersyukur kerana Allah masih beri saya peluang untuk bernafas sampai saat ini. Banyak yang saya belajar tentang erti hidup, erti perjuangan dan kecintaan saya terhadap jalan ini semakin bertambah dan bercambah. Begitu juga dengan erti ukhuwah dan bersama susah di jalan dakwah.

Hari ini parut luka di tangan sering dipersoal. Setiap kali orang bertanya, saya hanya tersenyum dan hanya menjawab excident motor. Apa pun nilaian orang dengan jawapan saya tidak saya peduli. Biarlah Allah yang menilai sejauh mana parut ini satu hari nanti boleh bersaksi yang saya pernah berjuang di jalan ini.

Ya. Pengalaman ini kadangkala bagaikan mati hidup semula. Dihidupkan hati untuk lebih mengerti. Dan kehidupan saya yang kedua ini menjadikan saya lebih menghargai erti sebenar kehidupan. Alhamdulillah.

Kuala Lumpur.
8 March 2014. 1610.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s